Seperti diramalkan, peristiwa yang berlaku pada hari penamaan calon semalam, 19 April, membuktikan bahawa BN akan melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kerusi DUN ini.
Bagi BN, kekurangan hatta satu undi pun sudah cukup untuk menjejaskan imejnya kerana ia berdepan dengan musuh psikologinya yang utama iaitu PKR dan Anwar Ibrahim.
BN tidak boleh kelihatan lemah daripada PKR dalam apa aspek sekalipun. Justeru itu, janji pilihan raya yang besar akan dibuat –mungkin lebih besar daripada di Pengkalan Pasir, Batu Talam dan Machap.
Lebih banyak pembesar dan perayu undi BN akan dikerahkan ke Ijok. Makan dan minum halal dan tidak haram, lembut dan keras pasti disajikan dengan seluas-luasnya. Teringat saya kepada waktu membuat liputan pilihan raya Sabah dan Sarawak pada tahun 1970’an dan 1980an di mana minuman keras menjadi senjata utama memancing undi.
Tidak cukup dengan itu, kempen yang berkisar di sekitar perwatakan pasti berlaku dan menjurus kepada character assassination.
Malah ia sudah pun bermula pada waktu penamaan calon dengan penggunaan istilah-istilah dan slogan-slogan tertentu.
Tiada siapa akan selamat daripada kempen selak dan pamer, show and tell ini – tidak Najib, tidak Anwar, tidak Khairy dan tidak juga dua calon terbabit.
Menyedari hal inilah agaknya Timbalan Perdana Menteri, buat pertama kali, bercakap secara terbuka kepada akhbar mengenai percubaan mengaitkan kes bunuh Altantuya dengan diri, pejabat dan rumah tangga beliau.
Begitu juga Anwar. Sebagai bekas orang nombor dua Umno, BN dan negara, beliau lebih daripada arif mengenai apa yang BN akan dan tidak akan lakukan untuk memenangi pilihan raya.
Pembabitan cergas naib ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, pasti menarik perhatian umum kepada Perdana Menteri yang berupa bapa mentuanya.
Para pemerhati dan pengkaji politik mungkin berminat membuat perbandingan antara Anwar yang sudah matang dengan Khairy yang masih mentah.
Seorang bekas menteri yang pada suatu waktu dulu sangat akrab dengan Anwar membuat kesimpulan berikut selepas dikunjungi oleh Khairy:
“Dia pandai mengambil hati. Dia adalah salinan karbon (carbon copy) kepada Anwar.”
Jadi, kalau tiga watak utama ini --- Najib, Anwar dan Khairy – bertembung di Ijok maka tiada apa yang kekal suci (sacred) dan rahsia (secret). Segala-galanya akan diselak dan dipamerkan -- show and tell.
Dipetik dari akadirjasin.blogspot.com/akadirjasin.com