Mengapa agenda penyatuan Melayu lebih penting daripada segala-galanya. Lebih penting daripada UMNO dan lebih penting daripada PAS.
Perpaduan Melayu pada hemat saya adalah titik di mana bermulanya pelbagai agenda, sama ada yang positif atau negatif. Ia positif apabila diambil kira betapa peradaban dan keluhuran Melayu membuka ruang kepada manifestasi sebenar negara Malaysia melalui penerimaan kaum lain, kesudian berkongsi ekonomi dan hak dalam konteks persejagatan pada perjanjian (sama ada ada tertulis atau lisan) yang diperturun, lantaran dipersetujui semua masyarakat.
Melayu tidak pernah berasa dengki atau tidak senang dengan kemajauan yang dicapai masyarakat lain. Walaupun ada wujud elemen-elemen negatif ini, ia sebenarnya merupakan sikap individu dan kelompok manusia yang dianggotainya. Kebencian, perasaan iri hati dan diskriminasi bukan karekter Melayu sebenar, apatah lagi Melayu yang beriman kuat dengan rukun Islam.
Selagi Melayu berpegang kuat kepada tuntutan agama, bangsa yang telah berkurun menerima kedatangan kaum lain ke bumi tercinta ini dan membantu mereka mendirikan kampung halaman, negara Malaysia tidak mungkin mudah digugat kekocohan.
Tetapi, kini Melayu menjadi mangsa sikap sendiri. Bukan bangsa Melayu yang salah, tetapi nafsu tamak yang tidak dapat dibendung telah menanam bibit-bibit kehancuran. Ia menjadi lebih buruk apabila identiti Melayu sebenar tidak dipertahankan, dan sebaliknya generasi-generasi kebelakangan ini begitu mudah menerima segala apa yang disogokkan pada minda mereka. Segala apa yang diperhatikan kini dianalisa dan ditafsir berdasarkan logik barat sementara apa yang terhukum dalam ajaran agama dibandingkan dengan logik manusia yang singkat. Dan daripada saat itu maka beransur runtuhlah perpaduan ummah dan Melayu.
Tiada salahnya bagi orang Melayu bersatu. Ia tidak ada kena mengena dengan tanggapan perseteruan, polarisasi atau sebarang agenda tersembunyi.
Hairan mengapa kaum lain perlu menggelabah dengan apa yang dilakukan oleh orang Melayu demi perpaduan sendiri...