Monday, January 12, 2009

P 36 KUALA TERENGGANU : MEMILIH WAKIL RAKYAT ATAU AHLI PARLIMEN ?


 

Pilihanraya kecil P 36 Kuala Terengganu pada Januari 17 nanti merupakan satu amalan demokrasi yang memerlukan para pengundi di Kuala Terengganu membuat keputusan bijak tanpa dipengaruhi sentimen parti.

Ini premis penting tidak kira samada mereka memerlukan seorang Wakil Rakyat atau ADUN yang baik atau seorang Ahli Parlimen.

Yang nyata keputusan pilihanraya kecil itu nanti tidak akan mengubah status quo pentadbiran yang dikuasai BN setelah kekal menguasai parlimen dengan majoriti besar walaupun kurang lapan kerusi untuk mendapat majoriti dua per tiga. Apatah lagi di peringkat negeri dimana BN menguasai semua kerusi DUN, sementara PAS hanya mendapat 4 kerusi termasuk Wakaf Mempelam yang di wakili oleh Wahid Endut. Wahid dipilih oleh PAS secara kebetulan untuk berdiri sebagai calon bagi pilihanraya P36 Kuala Terengganu.

Walaupun ada orang yang berangan tinggi kononnya jika pembangkang menang , hasrat untuk menjadi Perdana Menteri semakin hampir.

Baginya ini impian melangit tetapi jika tercapai akan menjadi igauan buruk bagi negara dan rakyat. Setakat ini apa yang nyata cita-cita itu hanya kekal sebagai angan-angan Mat Jenin atau Mat Lebong - retorik yang tidak lagi boleh diterima rakyat waras di Malaysia.

Terdapat banyak perbezaan di antara Kuala Terengganu dan Permatang Pauh dari segi sikap pengundi yang sukar dibaca dan sentiasa berubah-ubah mengikut selera. Bagaimanapun, yang jelas mereka bijak membuat pilihan tanpa dipengaruhi oleh orang luar. Kebanjiran orang luar sekadar melonjakkan hasil pendapatan jualan nasi dagang, keropok lekor, batik dan juga songket di kalangan perwakilan UMNO dan calon-calon MT pada Mac nanti.

Menurut rekod, sejak pilihanraya pertama pada 1959 hingga PRU 12, kedua-dua parlimen Kuala Terengganu dan Permatang Pauh sama-sama diwakili pembangkang sebanyak 5 kali dan dimenangi Perikatan/BN sebanyak 7 kali.

Sebelum 1974 masing-masing dikenali sebagai Kuala Terengganu Selatan dan Seberang Prai Tengah. Bagaimanapun pada pilihanraya umum 1974 masing-masing ditukar kepada Parlimen Kuala Terengganu dan Parlimen Permatang Pauh.

Parlimen Kuala Terengganu pernah diwakili Allahyarham Dato Onn Jaafar dari Parti Negara pada 1959. Pada 1969 ia jatuh ke tangan PAS yang diwakili oleh Allahyarham Daud Samad. Pada 1977 kawasan itu diwakili oleh Mustafa Ali selepas keluar dari BN, dan diikuti Dato Manan Osman dari Semangat 46 pada 1990 dan Syed Azman pada 1999.

Parlimen Permatang Pauh pula memperlihatkan penguasaan keluarga Anwar Ibrahim yang bermula dengan ayahnya Dato Ibrahim Abdul Rahman dari 1959 hingga 1964, Mustafa Husin dari Parti Gerakan pada 1969, diikuti Haji Ariffin Daud 1974 dan dirampas kembali oleh calon PAS Haji Zabidi pada 1978.

Dari PRU 1982 hingga 1999 kerusi Parlimen itu dipegang Anwar kecuali pada 1999 apabila disandang sementara oleh isterinya Wan Azizah. Pada Ogos 2008 kerusi itu dirampas Anwar daripada isterinya sendiri dalam keghairahan untuk ke Putrajaya untuk menjadi Perdana Menteri. Malangnya tindakannya yang tidak bertamadun dan di luar batasan demokrasi itu bukan saja tidak di sokong beberapa Ahli Parlimen yang cuba disogok, malahan juga ramai Ahli Parlimen dari partinya sendiri. Mereka menentang tindakan bodoh itu walaupun dengan angkuh dia mendakwa pada media asing termasuk CNN dan Al Jazeera, kononnya sudah mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Yang anihnya ramai mereka dari DAP, PAS dan PKR yang berkelulusan undang-undang dan profesional bercakap tentang ketelusan, kebebasan, integriti dan lain-lain sanggup bersekongkol dengan seorang pemimpin yang lebih 16 tahun dalam kerajaan tetapi hanya pandai bercakap tanpa membawa sebarang kemajuan dan pembangunan di kawasannya, Permatang Pauh, tetapi sebaliknya menuduh kerajaan BN gagal membangunkan kawasan itu.

Kemampuan Wahid Endut mempertahankan DUN Wakaf Mempelam selama lima penggal berturut-turut membuktikan betapa popularnya Cikgu Wahid sebagai Wakil Rakyat atau ADUN.

Dengan peribadi warak, mudah bergaul dengan masyarakat, mendengar rintihan mereka walaupun tidak mampu diselesaikan, sering hadir di majlis-majlis kenduri kahwin, tahlil, majlis berkhatan dan berada 360 hari setahun di DUN berkenaan menjadikannya orang paling sesuai sebagai ADUN Wakaf Mempelam. Boleh dikatakan nampak muka Cikgu Wahid pun sudah cukup walau pun longkang mereka tersumbat, atap rumah bocor, dan tidak ada jalan tar. Ini kerana segala kemudahan asas seperti masjid, sekolah, dewan orang ramai, dan peluang anak mendapat pendidikan disediakan oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang memerintah. Jadi, tak kiralah…walaupun kerja Cikgu Wahid hanya sekadar memberi senyuman, singgah di kedai kopi, singgah di wakaf, dan tengok pemuda main bola, yang penting Cikgu Wahid ada di kawasan Wakaf Mempelam setiap hari dalam setahun.

Begitu jugalah popularnya Dato Arif Shah sebagai ADUN Seberang Jaya. Walaupun calon-calon DUN lain kalah, mereka masih menang kerana seperti Cikgu Wahid, Dato Arif Shah juga mudah mesra dengan rakyat, pemurah dan boleh bertutur dalam loghat Cina setempat. Pendek kata, hampir 360 hari setahun dia boleh ditemui rakyat yang diwakilinya atau mereka boleh ke pejabat untuk menjemputnya menghadiri kenduri kahwin, berkhatan atau apabila berlaku kematian, Wakil Rakyat mereka, Dato Ariff, seperti juga Cikgu Wahid akan muncul disebarang

majlis tanpa banyak soal. Tambahan pula Dato Arif Shah dari keluarga berada. Dia mampu menjaga DUN dengan baik tanpa mengharapkan kerajaan DAP Pulau Pinang, Ahli Parlimen atau Ketua Pembangkang di Parlimen yang tidak mampu berbuat apa-apa selain berkokok berderai derai sedangkan ekor bergelumang tahi . Ringkasnya, Wakil Rakyat di DUN tidak perlu orang yang mampu membincangkan isu-isu nasional dan antarabangsa di Parlimen; cukup sekadar menjadi Wakil Rakyat yang mesra dan rapat dengan rakyat seperti apa yang dilakukan oleh Cikgu Wahid dan Arif Shah sekarang.

Ahli Parlimen, terutama yang mewakili parti yang memerintah memerlukan sifat-sifat agak berbeza bukan sahaja dari segi kelulusan akademik yang baik sebagai prasyarat utama tetapi juga mesti mempunyai ciri-ciri kepimpinan untuk menjadi pemimpin di peringkat pusat.

Rekod menunjukkan Ahli-Ahli Parlimen Kuala Terengganu seperti Dato Manan pernah dilantik menjadi Menteri, Dato Bakar Daud sebagai Timbalan Menteri, Allahyarham Dato Razali sebagai Timbalan Menteri, Dato Mustafa Ali yang juga sempat menjadi Setiausaha Parlimen semasa PAS di dalam BN tetapi kembali sebagai pembangkang bila PAS keluar BN pada 16 Disember 1977, tetapi sekurang-kurangnya pernah juga merasai nikmat menjadi pemimpin kerajaan. Begitu juga Dato Zubir Embong yang pernah dilantik menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional.

Pendek kata sekiranya Ahli Parlimen BN menang di P36, sekurang-kurangnya jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dijanjikan oleh TPM Dato Seri Najib diberikan kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang baru. Begitu juga seperti yang berlaku kepada Wakil Rakyat Permatang Pauh di mana Dato Ibrahim pernah dilantik menjadi Setiausaha Parlimen dan anaknya pula selama 16 tahun menjawat berbagai jawatan sehinggalah menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri. Bagaimanapun, Allah maha mengetahui dan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri tidak kesampaian walaupun dia berusaha dengan berbagai cara termasuk yang tidak di redhai Allah. Akhirnya pengundi Permatang Pauh terpedaya dengan tipu-helahnya dan termakan dengan janji palsu yang dia akan ke Putrajaya pada September 16. Mereka menolak tuah dan sebaliknya sekali lagi memilih pembangkang sebagai wakil mereka. Hari ini suara dia dan anaknya jarang sekali kedengaran.

Jika pada awal tahun 1970an dia begitu lantang menyuarakan tentangan terhadap pencerobohan tentera Amerika di Vietnam, sekarang ini dia terus membisu apabila Amerika menceroboh Iraq, dan paling baru, dia juga membisu bila apabila rejim Israel menceroboh Gaza. Mulutnya terkunci mungkin sebab tidak mahu menjejaskan hubungan baik dengan sahabat karibnya seperti Wolfowitz , dan si biadab Al Gore yang telah lama dikenali.

Pengundi Kuala Terengganu perlu bijak membuat penentuan dan tidak mengulangi kesilapan pengundi Permatang Pauh. Sudahlah kerajaan negeri dikuasai pembangkang, Ahli Parlimennya juga Ketua Pembangkang. Akhirnya janji-janji pilihanraya tidak dapat dilaksanakan berikutan jurang komunikasi antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Sekarang ditambah masalah apabila wakil mereka di Parlimen yang juga Ketua pembangkang hanya mampu bercakap kosong dan tidak berupaya menterjemahkannya kepada tindakan membina. Akhirnya Permatang Pauh terus berangan untuk mendapat Perdana Menteri baru sedangkan rakyat di bawah pentadbiran kerajaan BN yang memerintah terus menikmati pembangunan pesat seperti di Kuala Terengganu.

Walau pun masih terdapat kekurangan, perhubungan baik dengan pentadbiran pusat akan memungkinkan segala usaha untuk manfaat rakyat direalisasikan. Sebaliknya jika pengundi menolak tuah dan memilih Ahli Parlimen yang kebetulan sekarang ini sekadar Wakil Rakyat baik hati dan mudah didampingi walau pun seorang anggota pembangkang di peringkat negeri sepertimana Wakil Rakyat Seberang Jaya di Permatang Pauh, hakikatnya para pengundi berlaku zalim kepada Cikgu Wahid. Mereka menzaliminya dengan beban kerja yang tidak mampu di pikul kerana terpaksa memisahkan diri daripada rakyat di Wakaf Mempelam. Jika mereka memilih pembangkang, mereka juga akan menzalimi rakyat di Kuala Terengganu yang selama dua penggal telah menikmati pelbagai kemajuan dan pembangunan menerusi seorang Ahli Parlimen yang bukan saja berjaya menjalankan tugas dengan baik sebagai Wakil Rakyat, tetapi juga sebagai Timbalan Menteri.

Calon BN P 36 Kuala Terengganu mempunyai kelebihan berbanding Ahli Parlimen biasa, apatah lagi sebagai Ahli Parlimen pembangkang yang hanya mampu menyalak tanpa sebarang kesan untuk kebaikan rakyat yang mereka wakili. Apalah gunanya kalau sekadar untuk kepentingan sendiri dari segi elaun dan sebagainya. Ini ketara dilakukan kebanyakan Wakil Rakyat pembangkang yang memegang portfolio Dewan Negeri dan Parlimen. Tidak kurang juga mereka yang terdiri daripada ayah, anak , dan isteri yang menjadi Wakil Rakyat sedangkan sumbangan mereka tidak begitu terserlah selain terus membuat bising menyalahkan kerajaan yang memerintah tanpa mengemukakan sebarang cadangan konkrit. Inilah yang sebenarnya dilakukan oleh PAS sejak pilihanraya pertama 1955 apabila mereka diberi peluang mentadbir Kelantan, Terengganu dan kini Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah.

Walau pun mereka berjanji untuk menghapuskan maksiat selepas pilihanraya, hingga ke hari ini tidak satu pun kedai judi yang dan kedai arak yang mereka arahkan tutup, sebaliknya menambahkan lagi bilangan ladang babi.

Selama lebih 38 tahun memerintah Kelantan dan tujuh tahun memerintah Terengganu, jangankan Hudud, Undang-Undang Keluarga Islam, Pentadbiran Zakat & Baitulmal pun tidak mampu di perbetulkan, malahan di beberapa negeri, pemimpin PAS hanya berperanan tidak lebih sebagai keldai tunggangan PKR dan DAP. Di Terengganu walau pun terdapat hanya seorang wakil MCA, dia dilantik juga sebagai EXCO. Bukan seperti di Pulau Pinang, walaupun PAS membantu DAP, wakil mereka terus di pinggirkan. Keadaan sama berlaku di Selangor dan Perak di mana EXCO DAP lebih berkuasa.

Kini diambang pilihanraya, mereka sudah mula bertelagah mengenai isu lapuk seperti Hudud. Bayangkanlah jika mereka mendapat kuasa.

Kesimpulannya pilihanraya kecil P 36 Kuala Terengganu bukanlah medan untuk menentukan siapa bakal mengambilalih kepimpinan negara, tetapi memilih Ahli Parlimen yang bukan sekadar mampu membawa suara rakyat Terengganu ke Parlimen tetapi juga memastikan kesinambungan kejayaan yang dibuat Allahyarham Dato Razali.

Kejayaan memberangsangkan yang dicapai pelajar Terengganu di peringkat UPSR , PMR, SPM dan STP adalah berikutan usaha gigih Allahyarham, dan segala ini perlu diteruskan oleh seseorang yang mempunyai pengaruh di peringkat pusat. Apatah lagi jika apabila calon tersebut dijanjikan jawatan Timbalan Menteri sedangkan jika pengundi memilih Cikgu Wahid, sudah tentu dia tidak mampu berbuat apa-apa selain menghilangkan diri dari kawasan Wakaf Mempelam selama enam atau tujuh bulan setiap setahun untuk menghadiri sesi Parlimen di Kuala Lumpur.

Jika ini berlaku rakyat di Wakaf Mempelam terutamanya akan kehilangan seorang Wakil Rakyat yang mereka sayangi. Cikgu Wahid tidak lagi akan menjenguk muka di majlis kenduri kahwin, di tempat kematian atau bercampur dengan pemuda di padang bola, di kedai kopi atau di wakaf. Biarlah Cikgu Wahid terus bersama rakyat di Wakaf Mempelam sebagai Wakil Rakyat yang mereka sayangi, dan sebaliknya tugas meneruskan kemajuan Kuala Terengganu diserahkan kepada Wan Farid yang lebih berpengalaman sebagai Ahli Parlimen selain menjadi Timbalan Menteri dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri. Janganlah soal remeh seperti kurang senyum dan cara berjalan dijadikan alasan.

Kalau nak dibandingkan dengan Ahli Parlimen PAS, DAP atau PKR, berapa orang yang punya muka yang sentiasa tersenyum berbanding Pak Lah atau Dato Najib? Lim Kit Siang, Karpal Singh dan ramai Ahli Parlimen berwajah lebih bengis berbanding Wan Farid. Lagi pun mereka menang dikawasan yang bukan tempat kelahiran mereka. Kemenangan mereka hanya berdasarkan kelantangan sebagai wakil pembangkang.

Malah ramai Ahli Parlimen PAS yang bertanding di Kelantan tak mampu membawa sepatah pun loghat Kelantan, tetapi menang juga kerana mereka dilahirkan sebagai pembangkang. Namun begitu ada juga Wakil Rakyat PAS yang baik menjadi Wakil di DUN, tetapi kaku dan terus membisu bila dipindahkan ke Parlimen.

Oleh itu, pengundi Kuala Terengganu perlu mengenepikan perkara remeh dan membuat pilihan yang tepat sepertimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, ' Jika sesuatu urusan itu di serahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya. " ( Riwayat Bukhari ).

Berdasarkan rekod yang lalu kita yakin pengundi Kuala Terengganu lebih bijak di dalam membuat keputusan. Jadi tak payahlah ada orang menetapkan tarikh baru untuk ke Putrajaya. Biarlah keharmonian yang ditunjukan oleh kedua-dua calon dan para pemimpin PAS dan UMNO pada hari penamaan calon di kekalkan kerana ada lagi matlamat yang lebih penting daripada bercakaran sesama sendiri.

ROSLAN LATIFF