Dipetik dari Publius Melayu
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyarankan kepada Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) supaya menubuhkan Majlis Media Malaysia yang berfungsi sebagai mekanisme kawalan etika pengamal media dan penetapan standard kewartawanan di negara ini.
Katanya ia perlu dianggotai para pengamal media yang bertanggungjawab terhadap pengamal profesion terbabit selain bertindak sebagai saluran kepada awam untuk membuat sebarang aduan terhadap wartawan atau pengamal media berhubung laporan mereka.
Nazri berkata 'watchdog' seperti ini penting kerana Malaysia sebuah negara berbilang kaum. Katanya lagi kebebasan media yang mutlak tidak wujud di mana-mana di dunia.
Mungkin ada kebenaran pada apa yang dikatakan Nazri, tetapi di sebalik itu ada juga rational lain berhubung isu kebebasan ini. Walaupun kebebasan mutlak tidak ada, namun media perlu diberikan ruang untuk bergerak dan menulis secara 'bebas.' Bebas dalam konteks ini ialah melaporkan berita dengan penuh tanggung-jawab terhadap pelbagai senstiviti.
Jika dilihat dari satu aspek, badan kawalan tidak perlu kerana memang sudah ada pelbagai rang undang-undang untuk mengawal sebarang kesalahan yang berlaku dalam dunia kewartawanan di Malaysia. Yang penting ialah penguatkuasaan.
Sebagai contoh, blogger-blogger pembangkang dan anarkis di internet secara terbuka melanggar undang-undang dengan tohmahan, spekulasi tidak berasas dan macama-macam lagi. Kerajaan selalu berkata segala apa yang 'dedahkan' mereka di laman web dan blog adalah pembohongan dan tidak benar belaka. Jika ini terbukti benar, mengapa tidak diambil tindakan segera?
Alasan bahawa server atau alamat domain berada di luar jurisdiksi perundangan Malaysia tidak boleh dilayan kerana apa yang ketara dan nyata, sebilangan besar dari mereka ini berada di sini dan identiti masing-masing tidak disembunyikan.