Kesediaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Kepala Batas adalah tanda Presiden PAS itu tidak lagi yakin untuk menawan semula Terengganu daripada Barisan Nasional (BN).
Pak Lah berkata, "Ertinya dia tak yakin dah...dia kata dia nak ambil balik Terengganu (tetapi) dia lari nak pergi tempat lain. Apa cakap macam ni?"
Hadi, yang menjadi Menteri Besar Terengganu semasa PAS memerintah negeri itu pada 1999-2004 dikatakan sedia bertanding menentang Pak Lah dalam pertemuan satu lawan satu bagi kerusi Parlimen Kepala Batas di Pulau Pinang pada pilihan raya umum 8 Mac ini.
Hadi berkata kesediaannya itu bergantung kepada keputusan pencalonan oleh parti pembangkang dan setakat ini parti tersebut menyerahkan kepada PAS Pulau Pinang untuk menetapkan calon menentang Pak Lah.
Pak Lah memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas bagi penggal ketujuh berturut-turut sejak mula bertanding pada pilihan raya umum 1978.
Pak Lah yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional menewaskan calon PAS Abdul Khalid Rasid dengan majoriti sebanyak 18,122 undi pada pilihan raya umum 2004, dan turut menang dengan majoriti 11,175 pada pilihan raya umum 1999 menentang calon sama.