Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wan Azizah Wan Ismail sah akan bertanding untuk pilihan raya umum kali ini sementara anaknya, Nurul Izzah Anwar mungkin akan mengumumkan pencalonan dirinya pada bila-bila masa sekarang.
Anwar Ibrahim yang juga Ketua PKR menyatakan, isterinya Wan Azizah akan terus mempertahankan kerusinya di Permatang Pauh, kerusi yang pernah diduduki oleh Anwar sendiri.
"Ada permintaan dari ahli-ahli lain supaya Nurul Izzah bertanding tetapi beliau keberatan," katanya kepada pemberita selepas satu ceramah di Rantau hari ini.
Katanya, Nurul Izzah yang sekarang ini menjadi Koordinator Politiknya ada meminta pandangannya tetapi Anwar menyerah kembali kepada Nurul untuk menentukan keputusannya sendiri. Nurul bagaimanapun akan membantu kempen kali ini, katanya.