Wednesday, August 20, 2008

Anwar pula janjikan 20% untuk masuk UiTM


Bahang kemarahan terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim masih belum reda. Kalau Khalid hanya menawarkan 10% kemasukan bukan Melayu ke UiTM, Anwar pula menjanjikan 20%.

Malam tadi, Dato Seri Anwar Ibrahim dalam kempennya di pasar malam Seberang Jaya 2 membuka mulut pula menjanjikan kuota kemasukan 20% untuk bukan Bumiputera UiTM.

Kenyataan Ahli Parlimen Bebas dan bekas ketua kesatuan pelajar ITM pada tahun-tahun 70an, Dato Ibrahim Ali yang bersemangat mempertahankan status Bumiputera untuk UiTM dalam wawancara di Bernama TV semalam dicemik-cemikkan oleh Anwar.

Anwar tidak langsung sensitif dengan suara hati anak-anak Melayu di cawangan-cawangan UiTM seluruh negara yang menujuk perasaan membantah cadangan Khalid Ibrahim. Dia ketepikan perasaan kecewa puluhanhan ribu anak bangsanya dengan menuduh ia hanya caturan Naib Cansellor UiTM, Prof Dato Ibrahim Shah untuk mendapat lanjutan kontrak yang akan tamat.

Selain itu, Anwar juga mengulangi janji untuk memberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada kaum Cina dan India, disamping jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk Melayu yang sedia ada, jika dia menjadi Perdana Menteri.

Begitu sekali pemikiran Anwar kini. Seolah-olah dia bukan lagi orang Melayu hinggakan naluri semulajadinya berubah menjadi orang Malaysia tanpa mempunyai bangsa.

Atau mungkinkah Anwar mula terdesak kerana kesepian yang ditunjukkan oleh PAS hingga sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan undi dari bukan Melayu?

Keengganan Anwar melakukan mubahalah dalam isu liwat mungkin telah mengubah perasaan simpati orang ramai hingga menjadi curiga terhadap sandiwara dan dolak dalihnya.

Dengan sokongan para pekerja PKR yang begitu bersungguh dan bersemangat, Anwar mungkin tidak menyedari rintihan dan kesusahan kaumnya di Pulau Pinang, termasuk di Permatang Pauh di bawah pemerintahan DAP. Pelbagai kemudahan dan bantuan untuk orang Melayu telah dihentikan demi 'polisi sama rata.'

Kalau di bawah Gerakan ada empat orang ahli Exco Melayu, kini hanya tinggal dua orang Melayu-Islam. Bagaimana dua orang dari parti yang begitu liberal dan mentah dalam pentadbiran boleh membela kaum Melayu yang rata-rata serba kekurangan di Pulau Pinang?

Bagi orang Melayu, baik UMNO atau PAS, UiTM adalah sebahagian daripada ikhtiar dan perjuangan untuk meberi peluang kepada kaum Bumiputera.

Jika sekadar berdasarkan pasaran bebas, meritokrasi dan persaingan, berapa kerat orang Melayu yang boleh mendapat pelajaran pengajian tinggi? Begitu juga dalam hal-hal professionalisme dan ekonomi.

Minda korporat Khalid Ibrahim yang begitu terpukau dengan kualiti, efisiensi komersial dan keupayaan bersaing hanya mampu sekadar mendedahkan kekecamukan pemikirannya. Dia tidak dapat membezakan di antara polisi dunia perniagaan dan polisi awam yang melibatkan bidang pendidikan dan sosial.

Apakah persaingan telah meletakkan dirinya di mana dia berada sekarang? Tentu tidak.

Tanpa dasar yang mempunyai toleransi kepada kegagalan apakah Khalid berupaya memiliki rumah RM16 juta di Damansara Heights atau rumah bungalow di Seksyen 16, Petaling Jaya yang dijadikan pejabat PKR?

Pemikiran komersial hanya mendahulukan keuntungan. Tidak terlintas dalam minda orang perniagaan untuk berbakti secara sosial dan memberi peluang kepada mereka yang kurang bernasib-baik atau membangunkan masyarakat. Dunia komersial hanya melihat manusia itu sebagai sumber dan bukan sebagai insan yang mempunyai pelbagai keperluan, keinginnan dan harapan.

Jelas sekali Anwar, Khalid dan PKR berada di alam impian yang jauh terpisah daripada realiti untuk mengharap agar jurang perbezaan di antara kaum boleh berlaku berdasarkan ekonomi bebas dan pendekatan "survival of the fittest" semata-mata.

Kaum yang lebih 30 tahun dulu hanya mempunyai kurang daripada 5% kekayaan dan pegangan ekuiti tanahair dan kini masih dalam keadaan bertatih tidak boleh diharapkan berlari untuk bersaing di sukan Olimpik.

Baik budak-budak Tingkat 4 atau pun "Parti Keldaikan Rakyat", masing-masing terlalu sempit pandangan kerana melihat polisi awam dari perspektif komersial dan pasaran bebas.

Untuk Melayu mendapatkan sesuatu keistimewaan seperti UiTM bukan proses yang mudah. Disebalik sesuatu kemudahan dan kelonggaran yang diperolehi oleh orang Melayu, ia adalah hasil penat lelah pengorbanan, perjuangan dan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin, pejuang-pejuang dan rakyat sebelum ini.

Banyak perundingan, tolak ansur dan pengorbanan perlu dibuat dengan kaum-kaum pendatang dan penjajah untuk mendapatkan kemerdekaan.

Kemerdekaan tidak menjanjikan penduduk asal negara ini kemakmuran dan kesejahteraan. Orang Melayu dan bumiputera rata-rata masih dalam keadaan miskin, daif, dan serba ketinggalan. Kesusahan ini masih berterusan hingga terjadi satu rusuhan kaum yang membuka peluang untuk kita berunding bagi mendapatkan keistimewaan ini.

Kalau masih menggunakan pelampung untuk berenang di pinggiran pantai, jangan pula mahu ditarik pelampung untuk berenang ketengah. Kalau sudah tahu berjalan pun, jangan cepat mahu dibuang tongkat itu. Satu hari masih diperlukan. Kalau tidak pun, masih ramai yang memerlukan.

Inilah PKR.

Begitu rakusnya PKR gilakan kuasa hingga tidak menyedari 5 bulan sebelum ini mereka hanya mempunyai satu kerusi di Parlimen.

Kini mereka mahu menguasai kerajaan dengan apa saja cara hinggakan bangsa sendiri pun sanggup dijual walhal pemimpin-pemimpin utama PKR adalah pemimpin-pemimpin Melayu yang juga meraih kekayaan daripada dasar-dasar DEB dan hasil amalan kronisme Anwar.

Inikah yang mereka fahamkan dengan peribahasa "Membujur lalu melintang patah" yang mereka nyanyi-nyanyikan?