Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, beliau tidak langsung terlibat dengan keputusan polis untuk mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.
Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan hasil siasatan polis terhadap kes dakwaan liwat terhadap Anwar dan bukan kerana beliau yang meminta polis berbuat demikian.
"Mana mungkin saya mendesak agar dia didakwa. Polis bukannya bodoh. Polis hanya bertindak berasaskan hasil siasatan mereka sendiri.
"Selain itu, janganlah pula kita lupa tentang keadilan yang dituntut Saiful (bekas pembantu Anwar Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat bekas majikannya itu).
"Dia juga mengharapkan keadilan, sebab itu dia buat laporan polis," kata beliau kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini.
Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anwar yang mendakwa bahawa Perdana Menteri terlibat secara langsung di atas keputusan yang dibuat oleh polis terhadapnya itu.
Abdullah berkata, tindakan polis adalah berasaskan peruntukan undang-undang dan hakikat bahawa ia diambil selepas Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pilihan raya kecil Permatang Pauh yang dijangka ditandingi Anwar atas tiket Parti Keadilan Rakyat adalah satu kebetulan.
Katanya, kes dakwaan liwat terhadap Anwar bukan satu perkara baru, malah telah disiasat polis sejak laporan mengenainya dibuat Saiful.
"Tetapi ada juga orang kata, peletakan jawatan Datuk Seri Wan Azizah (Presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail) sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh juga satu helah dengan harapan Anwar tidak akan dibawa ke mahkamah. Cerita tentang ini bukan hanya ada satu versi sahaja, malah lebih dari dua," katanya.
Azizah meletakkan jawatannya minggu lalu bagi membuka ruang suaminya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh yang telah ditetapkan oleh SPR akan diadakan 26 Ogos.