Saturday, February 23, 2008

Tun M saran diadakan mata pelajaran khas pekerti mulia di sekolah

Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan subjek khas bagi mendidik anak-anak Melayu menjadi manusia berpekerti tinggi diajar di institusi pendidikan di negara ini.

Beliau berkata langkah itu diyakini dapat membantu mengatasi gejala sosial di kalangan belia Melayu yang paling banyak terlibat dengan aktiviti tidak sihat seperti rempit dan menagih dadah.

Dr Mahathir berkata penguasaan ilmu sematamata tidak menjamin lahirnya insan yang berpekerti mulia. Sebaliknya, beliau berkata mereka yang berpengetahuan tetapi tidak mempunyai peribadi yang elok boleh merosakkan masyarakat dengan menyalahgunakan ilmu yang ada.

Tambahnya, orang berilmu dan mempunyai peribadi mulia adalah pendakwah sebenar dan wajar dijadikan contoh kepada masyarakat pelbagai lapisan agama.

Menurutnya kekayaan merupakan satu daripada punca keruntuhan moral di kalangan masyarakat sekarang.

"Sekarang ramai yang capai satu tahap kekayaan hinggakan anak-anak mereka tidak hargai wang ringgit. Jika tak ada wang mereka minta daripada ibu bapa dan sebab mampu ibu bapa dengan mudah beri wang yang diminta menyebabkan anak-anak tak hargai wang yang diterima mereka," katanya.

Ibu bapa sekarang juga katanya tidak begitu menumpukan kepada pembentukan peribadi anak-anak dan menyerahkan tugas mendidik kepada guru di sekolah semata-mata.