Thursday, May 24, 2007

Apa yang mereka mahu sebenar?

Oleh : A Voice

Perkara yang menjadi saya amat terkilan sekali dengan penerbitan Buku “May 13” adalah lakaran racis dan bolot yang melulu dan stereotaip terhadap usaha pemimpin lepas untuk membetulkan legasi yang telah dibawa oleh British.

Sikap “Xenophobic Ethno-centric”

Kalau dikaji sejarah negara ini, persoalan dan perjuangan penulis buku ini, Dr Kua Kia Soong terhadap kedudukkan keistimewaan Melayu, bahasa Melayu, agama Islam, dan lain-lain hak-hak legal dan warisan sejarah orang Melayu bukan perkara baru. Slogan politik “Malaysian Malaysia” bukan slogan baru tapi berakar umbi pada slogan cetusan Tan Cheng Lok “Malaya for Malayan” pada 1930an, di kemuncak polisi immigrasi tanpa had British.

Sekolah Cina yang diperjuangkan dengan gigih oleh Dr Kua Kia Soong, penulis buku ini pun asalnya sekolah sukatan pelajaran negeri Cina yang dibenarkan oleh British untuk memenuhi keperluan pelajaran anak-anak immigren untuk pulang kembali. Mengapa sudah jadi rakyat pun mahukan legasi pelajaran immigren?

Adakah tujuan kononnya perjuangan kemanusiaan sejagat SUARAM membawa kepada pembangunan negara (nation building)? Biar saya katakan rekod beliau menunjukkan sebagai seorang “xenophobic ethnocentric”.

Sifu saya seorang sosiologis baru menghantar komen SMSnya, "Same thesis as his earlier book. Strait jacket mechanical application of Marxism."

Yang Bangkit dan Yang Apathy

Ingin saya seterusnya memetik rencana tulisan Dr Nordin Kardi, bekas Pengarah Biro Tatanegara dan kini Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) dari Utusan Malaysia yang diterbit dalam lingkungan tarikh Mei 13hb, 2007 baru-baru ini. Rencana bertajuk “Fahami pemberian orang Melayu” ini saya “potong dan tampal” dari rakan blog rakan karib saya, Biggum Digmannsteinburg.

Menurut Dr Nordin, “kebelakangan ini pelbagai pihak semakin kerap membangkitkan isu kaum di Malaysia”. Katanya, beliau sering mendapat kata-kata “sinis menyebut kata-kata ‘inilah demokrasi acuan Malaysia’. Kata-kata yang merujuk bahawa demokrasi Malaysia ialah demokrasi mengikut tafsiran nafsu Melayu.”

Satu perkara yang menyedihkan mutakhir ini yang saya lihat amat ketara dalam kepimpinan UMNO yang ada adalah sikap takut-takut pemimpin Melayu yang ada, Perkara ini ketara sekali dikalangan pemimpin Melayu dalam Parti Keadilan Rakyat. Saya memetik tulisan Dr Nordin berikut:

"Pemimpin-pemimpin Melayu terutamanya sangat defensif dalam menguruskan masalah kepentingan kaum ini. Kadangkala di Parlimen, ahli-ahli Yang Berhormat Melayu di pihak kerajaan seperti begitu ofensif dalam serangan balas mereka atas tuduhan perkauman. Namun, nyata tindakan ofensif itu pun hanya merupakan sebahagian daripada strategi defensif.

Seperti ada rasa bersalah di kalangan pemimpin Melayu setiap kali bercakap mengenai kepentingan etnik sehingga ruang rundingan kepentingan Melayu terutamanya tidak begitu terbuka, sebaliknya perlu ‘diseludup’ dengan cara lain. Pemberian terhadap orang Melayu secara terbuka ditakuti akan dilihat sebagai tindakan diskriminatif."

Permasaalahan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 berakar umbi dari amalan “pecah dan perintah” British yang menyebabkan rakyat berbilang kaum dipisahkan antara satu sama lain melalui bahasa, pekerjaan, ekonomi, penempatan, dan lain-lain cara. Dari situ timbul jurang perbezaan dan syak wasangka yang amat mendalam antara satu kaum dengan satu kaum yang lain.

Tun Razak Selayang Pandang

Berbalik kepada perkara pembangunan negara, saya bersyukur dapat diperingatkan jasa arwah Tun Abdul Razak oleh Tengku Tan Sri Razaleigh bin Hamzah pada Mac 30hb, 2007 baru-baru dalam ucapannya bertajuk “Pemikiran dan Visi Tun Abdul Razak dalam pembinaan negara-bangsa Malaysia merentas sempadan etnik” di Universiti Malaya. Langkah-langkah strategik Tun Abdul Razak begitu berkesan dalam usaha “nation building” dalam aspek pendidikkan, ekonomi dan sosial .

Tun Abdul Razak telah mengenalkan juga satu pembaharuan politik menerusi pembentukkan politik “berideologi” mesyuarah dan kesepakatan antara kaum yang diamalkan Barisan Nasional. Sehingga hari ini, belum kedapatan lagi formula mesyuarah dan kesepakatan kaum dikalangan parti-parti pembangkang, melainkan khusus untuk menghadapai pilihanraya. Kini kata Dr Nordin:

"Frasa popular yang dilemparkan kepada kerajaan semasa ialah bahawa kerajaan perkauman kerana dibentuk oleh gabungan parti utama yang berasaskan kaum – UMNO, MCA dan MIC. MCA dan MIC selalu dimomok sebagai parti bukan Melayu yang tunduk dan menjadi alat kepada UMNO untuk menegakkan kepentingan Melayu."

Ungkapan Clinton, It's the Economy, Stupid!

Kecaman terhadap orang Melayu sudah begitu lantang hinggakan pelbagai tomohan telah ditimbulkan, tulis Dr Nordin:

"Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diasaskan selepas Peristiwa 13 Mei, yang menekankan sasaran penyertaan Melayu sebanyak 30 peratus dalam semua sektor untuk tempoh 20 tahun (1970-1990) adalah ibu kepada segala dasar ‘jahat’ perkauman UMNO.

Orang bukan Melayu dilihat sebagai telah berkorban selama 20 tahun untuk membiarkan orang Melayu merebut segala peluang ekonomi, pelajaran, sosial dan sebagainya. Oleh yang demikian sebarang usaha melanjutkan sasaran itu selepas 1990 adalah suatu usaha diskriminasi yang menzalimi kepentingan kaum lain.

Pemimpin UMNO selalu mempertahankan keputusan-keputusan berkaitan kaum dengan mengulang-ulang cerita kontrak sosial yang telah lama. Ini berterusan sehingga mata masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi mata asing (mungkin dengan minat tertentu), melihat seolah-olah benar kaum Melayu terus menerus mendapat laba selepas kontrak itu, sementara kaum lain sentiasa memberi.

Orang Melayu sudah tidak memberi lagi selepas 1957! Orang Melayu menerima subsidi, orang Melayu membolot kuasa, orang Melayu kaum penerima!"

Orang Melayu juga di persoalkan:

"Bilakah orang Melayu memberi? Besar sangatkah pemberian orang Melayu itu kepada kaum lain sehingga kaum lain terpaksa membayarnya kembali tanpa kesudahan? Tambahan pula kontrak itu bukan dibuat oleh generasi pelbagai kaum sekarang. Dia buatan orang dahulu, mengapa orang sekarang harus terus membayarnya? Benarkah?"

Ikatan Janji Sudah Dinobat, Sama Bersepakat

Mungkin mereka sudah lupa, Dr Nordin memperingati hadiah paling berharga sekali:

"Memang pada tahun 1955, dua tahun sebelum merdeka, orang Melayu telah menghadiahkan sesuatu yang sangat berharga kepada kaum lain. Biasanya, orang akan cepat menyebut bahawa hadiah besar kepada kaum lain itu ialah kerakyatan."

Satu rangkap biasa dalam pantun Melayu ada menyebut “orang memberi kita merasa.”

Dengan pemberian kerakyatan dan perjanjian yang sudah dinobatkan dalam Perlembagaan, sebagai rakyat mereka bebas untuk mengumpul dan memiliki harta & tanah, mengamalkan bahasa, kebudayaan, dan ugama mereka, dan mereka berhak memilih wakil ke Parlimen.

Namun, ada yang tidak bersyukur dan sengaja berdalih:

"Itu pun kata mereka kerana pembesar Melayu dipaksa oleh Inggeris. Tidak ada pilihan. Namun demikian, saya lebih cenderung mengatakan hadiah besar itu bukan kerakyatan sebaliknya hadiah selepas kerakyatan itu diperoleh. Jangan lupa, hal ini tidak semestinya terjadi jika keputusan sedemikian tidak dibuat orang Melayu."

Mudah mereka terlupa atau sengaja lupa? Atau mereka tidak faham?

"Apakah perkaranya? Perkaranya ialah kerusi pilihan raya. Pada tahun 1955 itu diadakan pilihan raya dan orang bukan Melayu hanya mempunyai majoriti di dua konstituen. Namun demikian Almarhum Tunku Abdul Rahman telah memutuskan supaya orang bukan Melayu diberikan 17 kerusi. Lima belas untuk MCA dan dua untuk MIC.

Segolongan pemimpin UMNO meninggalkan UMNO kerana hadiah yang terlalu mewah ini. Namun, rupanya orang Melayu.

Kebanyakan pun bersedia merestui pemberian hadiah ini. Keputusan pilihan raya itu menunjukkan orang Melayu memangkah untuk berwakilkan bukan Melayu di kesemua tujuh belas konstituen itu. Maksudnya, keputusan itu bukan lagi keputusan Tunku berseorangan. Orang Melayu berani meletakkan kepercayaan dengan berwakilkan bukan Melayu untuk memperjuangkan kepentingan mereka."

Masih Berdalih

"Itu dahulu. Sekarang bagaimana? Demikian lanjutan perbualan ahli politik generasi muda. Jawapannya tetap serupa. Semenjak pilihan raya 1955 itu UMNO secara berterusan memberikan konstituen majoriti Melayu kepada bukan Melayu. Jika tidak demikian semangatnya, MIC boleh dikatakan tidak akan diberikan satu kerusi pun.

Cuba perhatikan hadiah UMNO kepada orang calon bukan Melayu dalam pilihan raya terbaru iaitu tahun 2004. Ong Ka Ting, Presiden MCA menang di P165 Parlimen Tanjung Piai, Johor yang pengundi Cina hanyalah 40.14 peratus berbanding dengan pengundi Melayu 53.02 peratus. Kawasan itu boleh diyakini sebagai kawasan selamat menang kepada Ong.

Naib Presiden MCA, Ong Tee Kiat menang di P100 yang pengundi Cina hanyalah 42.56 peratus berbanding pengundi Melayu 51.42 peratus. Demikian juga dengan pemimpin MCA yang lain bergantung kepada undi Melayu seperti Chor Chee Heung di Alor Star (58.43 peratus), Lim Bee Kau, di Padang Serai (52.51), Tan Kian Hoe di Bukit Gantang (62.95), Yew Teong Lock di Wangsa Maju (52.67), Wee Ka Siong (55.26), Kerk Choo Ting di Simpang Renggam (54.29) dan Ling Ban Sang di Tebrau (51.09).

MIC pula mendapat konstituen yang majoriti pengundinya adalah Melayu di Hulu Selangor untuk Palanivel (50.50 peratus Melayu berbanding pengundi India hanya 19.04 peratus) dan Vigneswaran (50.05 peratus Melayu berbanding pengundi India hanya 27.30 peratus."

Tak Bolehkah Kerja dan Makan Sama-Sama

Perkara yang amat kuat dipersoalkan sehingga tuduhan konspirasi coup d’etat disebalik persitiwa 13 hb Mei adalah ekonomi. Kata klise, hidup dan mati orang Tionghua hanya memikirkan dan mengejar duit dan harta. Adakah mereka berhasrat dengan kiasu untuk membolot tanpa kekangan? Mungkin tidak terancang begitu.

Siapa tak tahu bahawa mereka memang boleh bersaing? Mereka mahu amat memperjuangkan ekonomi laisse fairre atau ekonomi bebas. Bagi mereka yang sudah maju kehadapan, bermodal dan rangkaian tertutup (exclusive networking) yang tidak lut, tahap competitive advantage mereka sudah teramat jauh di hadapan.

Padang permainan ekonomi bukan bagaikan liga bola Inggeris yang membahagaikan mengikut Premier League, Divisyen Satu, Dua dan seterusnya. Orang Melayu memang sudah menunjukkan peningkatan, tapi permainan catch-up tidak boleh menyaingi kadar pertumbuhan mereka.

Itu pun Dato Nordin menulis:

"Dalam konteks ekonomi pula adakah benar orang Melayu sahaja yang menerima sedangkan kaum lain sentiasa memberi? Orang berniaga atau orang yang mempelajari pengajian perniagaan akan faham bahawa dalam sesebuah ekonomi setiap ahli masyarakat menyumbang kepada pertumbuhan.

Tentulah tidak munasabah mengatakan Melayu hanya sebagai penerima sedangkan mereka setiap hari berurus niaga dan berperanan sebagai pengguna yang berbelanja.

Baik DEB mahupun Dasar Pembangunan Negara (DPN) memang ada memperuntukkan bajet negara atas nama Melayu. Contohnya Felda. Majoriti penerokanya ialah Melayu.

Namun demikian, jika katakan kawasan Felda itu adalah getah, peneroka akan menunggu tujuh tahun baharu getahnya boleh ditoreh untuk mengeluarkan hasil.

Sedangkan, kontraktor pembina jalan, kontraktor pembuat rumah peneroka, kontraktor memasang paip, kontraktor elektrik, kontraktor membina kompleks dewan, sekolah dan sebagainya yang menelan jutaan ringgit (berbanding beberapa ringgit yang bakal diperoleh oleh peneroka tujuh tahun kemudian!) yang umumnya melibatkan golongan bukan Melayu serta-merta menyejat peruntukan jutaan ringgit itu.

Inilah yang dikatakan oleh Tun Razak dahulu bahawa DEB yang memperuntukkan 30 peratus kepentingan Melayu dalam semua sektor dalam tempoh 20 tahun untuk dicapai bukan bererti merampas daripada bukan Melayu kepada Melayu, sebaliknya ia dilaksanakan dengan memperbesarkan kek ekonomi.

Walaupun sesuatu projek itu diluluskan atas tajuk Melayu namun nikmatnya tidak semestinya dirasai oleh Melayu sahaja."

Mungkin baik kita fikir bersama perkara ini.

Tiadakah Cara Lain?

Diakhir ucapan Tengku Razaleigh, beliau telah mengemukakan cabaran: “Apakah kita mempunyai apa-apa pilihan atau “model” lain yang dapat menggantikan wawasan Razak itu sebagai formula yang terbaik untuk memajukan negara ini atas LANDASAN PERPADUAN NASIONAL YANG SEBENAR?

Maka pengakhir kata Dr Nordin pula boleh saya anggap sebagai persoalan mengenai LANDASAN PERUNDINGAN YANG SEBENAR.

"Saya teringat kata Profesor Bazerman, pakar strategi perundingan Harvard yang menyebut jika ada dua pihak sedang berunding yang kesudahan rundingan itu satu pihak mendapat lapan dan satu pihak lagi mendapat 10 tetap lebih baik meneruskan rundingan berbanding jika setiap pihak mendapat masing-masing tujuh jika menamatkan rundingan.

Dari sudut politik, sehingga semenjak 1955 sehingga pilihan raya 2004 orang Melayu masih setia memberi apa yang mereka biasa beri. Ini akademik. Mungkinkah Profesor Bazerman pernah secara diam-diam belajar dari Malaysia?"

Tidak mudah untuk menahan seseorang untuk memikir dan memberi keutamaan kepada kepentingan diri sendiri, keluarga, masyarakat setempatnya, kaumnya dan pelbagai lain entiti. Yang penting, jangan kita tidak ambil endah fikiran kepentingan orang lain.