Wednesday, May 9, 2007

Jenis-jenis rasuah

Komen berikut yang tersiar dalam blog MalaysiaToday menarik perhatian saya. Berikut petikannya untuk renungan bersama. Komen tersebut dipostkan oleh blogger MalaysiaTodayFC.

Menurutnya rasuah itu terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:

Jenis pertama:
Sesuatu yang dengannya menyampaikan kepada mengambil sesuatu tanpa hak, seperti sesuatu yang disogok oleh seseorang kepada pemerintah/penguasa atau pihak yang bertanggungjawab untuk memperolehi pengguguran terhadap sesuatu yang semestinya ditunaikan, atau kerana mahu mendapatkan sesuatu sebelum tiba masanya, atau kerana mahu melariskan pengedaran barangan yang telah rosak atau sebagainya.

Ini adalah dari jenis rasuah yang paling teruk dan besar dosa dan mudaratnya kepada masyarakat Islam dan selain Islam. Inilah yang dimaksudkan oleh Firman Allah:
"Dan janganlah kamu makan hartabenda kamu di antara kamu dengan batil dan kamu ajukan perkara itu kepada penguasa (hakim) dengan maksud supaya kamu makan sebahagian dari harta orang lain dengan dosa, sedangkan kamu mengetahui." (al-Baqarah: 188)
(Lihat al-Feqhul Wadhih, vol 2, Dr. Muhmad Bakr Ismail, hal.610)

Sebagai orang asing dia semestinya mempunyai visa ketika berada di Malaysia, tetapi dia menyogok kepada pihak yang berwajib untuk melepaskan kewajipan ini dari dirinya.

Sepatutnya projek A di luluskan selepas mendapat kelulusan dan persetujuan dari beberapa pihak, tetapi syarikat B telah menyogok wang kepada mereka yang berkenaan agar projek itu diberi kelulusan segera.

Barangan yang telah luput tarikhnya atau yang tidak menepati standard yang dikehendakki, sepatutnya tidak boleh diberi kelulusan untuk diedarkan kepada pengguna. Namun pihak pengeluar telah menyuap pihak yang berwajib agar diberi kelulusan pengedaran.

Jenis kedua:

Iaitu sogokan yang dapat menghilangkan hak dari pemiliknya sebagai tindakan balas dendam kerana cemburu, dengki dsbnya. Jenis ini ada kemiripan dengan jenis yang ertama, malahan ia boleh dimasukkan ke dalam jenis berkenaan.

Apakah ada perbuatan yang lebih zalim lagi selain dari perbuatan menganiaya seorang saudara terhadap saudaranya yang lain dengan cara di atas? Ya, memang tiada perbuatan yang paling zalim, keji, runtuh akhlak, pemalsuan selain dari memakan harta manusia dengan cara yang batil dan keji. Ia tidak akan dilakukan melainkan oleh orang-orang yang keji, mati hatinya dan sesat pegangannya di dunia.

Di dunia ini, tiada sesuatu yang paling hina, keji dan jahat melainkan mereka yang curang dari kalangan pemerintah, penguasa dan pihak berwajib kerana menyia-nyiakan amanah yang diberikan, melenyapkan hak seseorang dari pemiliknya.
(Ibid., hal. 613)

Kerana persaingan yang hebat, maka A menyogok pihak yang bertanggungjawab agar mengenepikan projek yang sepatutnya diperolehi oleh syarikat B.

Kerana cemburu dengan kejayaan keluarga A, maka C telah menyogok agar permohonan bantuan pinjaman oleh anaknya yang belajar di Univerisiti dibangkusampahkan.


Jenis ketiga:
Iaitu sogokan yang diberikan untuk memperolehi satu-satu jawatan atau pekerjaan (&projek, kontrak dsbnya ).

Hukumnya adalah haram dengan ijmak umah, sebagaimana jenis pertama dan kedua. Dan, samada pemberi rasuah, penerima dan perantaranya, mereka kan memperoleh dosa yang sama.
(ibid.)

Lebih-lebih diharamkan lagi ialah apabila seseorang itu menyogok untuk memperoleh satu jawatan yang dia tidak mempunyai kelayakan. (ibid.)

A tidak mempunyai kelayakan untuk menjabat jawatan C, tetapi kerana ayahnya seorang yang berharta maka pihak yang berkenaan disogok jawatan berkenaan diberikan kepada A.

Sykt A sepatutnya bersaing dengan syarikat-syarikat lain untuk mendapatkan tender kontrak/projek, tetapi sykt A telah menyogok sebahagian pegawai yang bertanggungjawab. Sykt A mendapat kontrak berkenaan.

En. A adalah salah seorang pegawai yang bertanggungjawab meluluskan standard bangunan atau jambatan di jabatan X. Dalam suatu pemeriksaan yang dilakukan di tapak binaan jambatan kg B, di dapati boleh diluluskan. Dan sykt C yang bertanggungjawab menjalankan projek berkenaan telah menyogok En. A dengan sejumlah wang. Lalu.. Projek berkenaan telah diluluskan.

Hukum rasuah kerana menolak mudarat atau mengembalikan hak yang hilang
"Kadangkala seseorang itu terpaksa menyogok sejumlah wang kepada pemerintah/penguasa yang keji atau pemeras yang zalim untuk mengelakkan mara bahaya dari keluarganya. Di mana jika dia tidak menyogok, mara bahaya itu memang benar-benar akan berlaku. Ketika itu apa yang perlu dilakukan?

Atau kadangkala dia mempunyai hak tertentu, tetapi hak itu tidak akan diperolehi kecuali selepas membayar sejumlah wang. Ketika itu apa yang mesti dilakukan?

Apaka dia perlu mendedahkan diri dan keluarga kepada mara bahaya yang akan datang? Dan apakah di perlu membiarkan haknya itu hilang dan terlepas kerana takutkan dosa rasuah? Atau apakah dia perlu membayar sejumlah wang untuk tujuan memelihara diri dari mudarat atau mengambil hak yang sepatutnya diperolehinya?

Jawapannya: Wallahu a'lam… Apabila mara bahaya yang akan datang itu diperkira-kirakan amat dahsyat sehingga tidak sanggup ditanggungnya, atau haknya yang akan hilang itu tidak akan menjejaskan dengan teruk kehidupannya, maka ketika itu dihukumkan dengan hukum darurat/terpaksa sebagaimana dibenarkan memakan bangkai ketika terdesak. Bolehlah membayar sogokan itu kepada penguasa yang zalim itu dengan maksud mahu memelihara diri dari kemudaratan. Dosa dikenakan kepada penerima sogokan itu sahaja, tidak kepada penyogok yang dizalimi." (Ibid.)

Hadiah kepada hakim dan penguasa
Hakim, penguasa atau sesiapa sahaja yang mempunyai kekuasaan wajibah berhati-hati dari menerima hadiah yang diberikan dia dia sedang memegang jawatan berkenaan. Kewajipan berhati-hati apabila dia meragui tentang niat di sebalik hadiah yang dihulurkan. Niat mahu mendekatkan diri mereka kepadanya atau niat untuk memperoleh sesuatu berbentuk kebendaan atau maknawi dan seumpamanya. Niat-niat begini tidak dapat disorokkan. Hadiah-hadiah berkenaan mampu mempengaruhi seseorang yang berkuasa dalam membuat keputusannya. Dan haram menerima hadiah berkenaan jika di ragui ia adalah sebagai perantara untuk memperoleh sesuatu. (ibid. 614)

Terkecuali… Hadiah-hadiah yang dihulurkan sebelum dia menjabat jawatan tertentu oleh rakan-rakan, kaum kerabat dan jiran-jirannya. (ibid)

Jelaslah bahawa hadiah yang dihulurkan ketika dia memegang jawatan tertentu adalah haram diterima jika diragui (zhan) ada niat serong disebaliknya. Untuk menetapkan ia tidak boleh diterima hendaklah menggunakan keraguan sahaja tidak semestinya dengan keyakinan.

Beza antara rasuah dan hadiah
Adalah penting untuk mengelakkan diri dari terkeliru dalam menentukan apakah ia rasuah atau hadiah.

Rasuah ialah hadiah yang dihulurkan kepada seseorang yang mempunyai kuasa tertentu bertujuan untuk membatalkan hak seseorang, atau menetapkan hak yang tidak sepatutnya, atau untuk memperolehi jawatan atau pekerjaan yang tidak selayaknya.

Hadiah pula ialah: Harta yang dihulurkan bertujuan mendekatkan seseorang dengan saudaranya yang lain kerana cinta dan kasih, atau supaya mereka dapat bantu membantu atas kebaikan dan takwa, atau untuk menjadi rakan kongsi dalam suka dan duka - tanpa ada di sebaliknya itu suatu niat rasuah.

Kita memberi hadiah kepada sahabat kita kerana mahu mempereratkan tali silatul rahim, agar dengan itu dia dapat bantu-membantu di dalam urusan iman dan Islam atau dapat berkongsi perasaan ketika suka dan duka.

Masalah:
Dengan penjelasan di atas, kami kira kemusykilan yang dihadapi oleh salah seorang saudari kita dari Paka, Terengganu telah terjawab. Pertanyaan kepada pihak aL-AHKAM online yang lebih kurang berbunyi:

Saya bekerja dengan sebuah syarikat multinasional di Malaysia sebagai Pegawai yang bertanggungjawab dalam soal pembelian melalui tender dan kontrak. Dalam menjalankan kerja seharian ramai kontraktor-kontraktor dan pembekal-pembekal yang menjadi kawan. Ada yang mengajak makan tengahari, ada yang memberi saguhati berupa pen, topi, dairi, kalendar. Ada yang menganjurkan seminar dan membayar segala perbelanjaan perjalanan, hotel dan lain-lain. Ada yang memberi pinjam kereta dan bermacam-macam khidmat percuma lagi.
Soalan saya :-
1. Adakah semua ini dikategorikan sebagai rasuah dan tidak dibolehkan oleh syarak ?
2. Jika mereka yang telah menjadi kawan itu mengatakan itu adalah atas dasar persahabatan, apakah hukumnya pada saya yang menerima ?
3. Apakah ada cerita-cerita dari kitab-kitab muktabar yang boleh dijadikan panduan ?

Jawab:
Ini adalah sekadar penambahan sahaja.

Umar bin Abdul Aziz ketika menjawat jawatan khlifah pernah diberi hadiah, tetapi ditolaknya. Kemudian dikatakan kepadanya: "Rasulullah sendiri sudi menerima hadiah." Umar menjawab: "Apa yang diterima oleh Nabi itu memang hadiah, tetapi ini bagi saya adalah sogokan." (Lihat al-Halal Wal haram Fil Islam).

Imam al-Ghazali berkata di dalam al-Ihya' Ulumuddin, jika larangan (rasuah) itu begitu tegas, maka sepatutnya seorang hakim atau penguasa - dan yang seumpamanya - memperkira-kirakan dirinya semasa tinggal bersama ayah dan ibunya. Kalau dia diberi hadiah selepas meletakkan jawatannya tetapi ketika itu dia masih tinggal bersama ayah dan ibunya, maka boleh diterimanya ketika dia sedang memegang jawatan itu. Tetapi kalau dia tahu pemberian itu kerana jawatannya, maka haram dia menerimanya. Dan hadiah-hadiah kawannya yang masih diragukan, apakah kalau dia melepaskan jawatan berkenaan mereka akan memberinya? Maka hal berkenaan dilihat sebagai barang syubhat, oleh itu jauhilah. (ibid.)

Bagaimana jika anda tidak memegang jawatan berkenaan? Apakah mereka ini akan menghulurkan hadiah? Hadiah dari seseorang atas dasar persahabatan lain, manakala atas dasar rasuah atau kerana anda sedang memegang jawatan itu adalah berbeza.

Berhati-hatilah dalam membuat perbedaan antara hadiah dan sogokan.. Jika gagal, anda akan terjebak ke dalam satu dosa, jenayah dan penzaliman yang paling keji. Malah dapat memberi kesan yang tidak sihat kepada masyarakat Islam atau bukan Islam.

Oleh: zain y.s.
Penanti, B.Mertajam