Bagaimanapun, pada asasnya jika diteliti klip video itu dalam konteks negara berbilang kaum seperti Malaysia, ia boleh dianggap sebagai sesuatu yang kurang sopan dan tidak sensitif. Komen dalam lagu yang mengkiaskan azan subuh sebagai satu-satu elemen sinis berupa satu innuendo yang begitu terbuka kepada interpretasi di bawah Akta Hasutan. Justeru pemaparan video itu di laman video YouTube untuk tontonan dunia seolah-olah menceminkan niat penciptanya untuk memburukkan hampir keseluruhan komponen kehidupan di Malaysia. Komen-komen yang menyusul di ruangan komen di bawah tetingkap klip video itu pula membawa pelbagai reaksi – ada yang melahirkan kemarahan dan ada yang menyokong apa yang dianggap sesuatu pengkaryaan yang begitu kreatif. Bagi mereka yang tergolong di dalam kumpulan yang menyokong video klip itu, alasan mereka sememangnya tidak lain daripada 'demi kebebasan ekspresi' tanpa batasan.Mereka memberikan komen-komen mengiyakan segala 'tohmahan' di dalam video tersebut. Dalam mendebatkan isu kebebasan ekspresi seperti ini banyak yang boleh diperkatakan, tetapi hakikatnya ia sesuatu yang amat sensitif dan boleh mendatangkan mudarat. Hak untuk bersuara dan berekspresi dijamin Perlembagaan, tetapi ramai yang melihatnya secara kasar tanpa melihat kepada 'spirit' dan falsafah perundangan itu sendiri yang tidak mungkin akan diperturunkan secara lisan dalam dokumen tulang-belakang kenegaraan itu. Bagaimanapun, yang anehnya, Perlembagaan hanya dilihat dari perspektif dan kaca mata individu yang sering kali mentafsirkannya tanpa had – had yang perlu dimengertikan dalam konteks masyarakat pelbagai kaum, budaya dan agama di Malaysia. Bagi mereka yang mepersoalkan hak undang-undang Malaysia untuk mengambil tindakan terhadap pengkarya 'subversif' itu, mereka dengan mudah cuba mendapatkan perlindungan di atas dasar kesempadanan (territoriality) di mana kononnya pihak yang memiliki laman YouTube berpangkalan di luar jurisdiksi Malaysia, justeru tiada apa-apa yang boleh dilakukan. Ini adalah pandangan yang salah kerana kini telah ada precedent di mana pihak pemilik laman-laman web rangkaian sosial seperti Yahoo! Google dan sebagainya boleh diminta bekerjasama untuk menangani penyalah-gunaan alam maya pada laman-laman milik mereka. Tanggung-jawab sebegini kini dilihat sebagai antara elemen penting konsep dunia tanpa sempadan yang dilaungkan oleh ramai pihak, termasuk anarkis dan aktivis sosio-politik yang berpemikiran sempit.
Renungkanlah clip video ini yang seolah-olah 'memparodikan' lagu kebangsaan negara, 'Negaraku'. Banyak tafsiran boleh dibuat sekiranya video tersebut diteliti daripada pelbagai perspektif.