Kelmarin akhbar alternatif online Malaysiakini menyiarkan berita Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menyaran penubuhan kumpulan 'pemuda hulubalang.' Menurut beliau cadangan itu ialah bagi khusus mempertahankan UMNO daripada tohmahan negatif dan memperjelaskan dasar kerajaan di peringkat akar umbi.
Saya berpendapat niat serta motif Adnan murni kerana begitu banyak tohmahan yang tersiar di blog-blog SOPO (sosial-politik) serta laman berita alternatif yang tidak terjawab. Ketiadaan usaha mantap bagi menjawab segala tohmahan tersebut memberi kesan mendalam kerana tanpa disedari intipati isu yang sama ada sengaja diwujudkan kini mudah sampai ke pembaca luar bandar.
Walaupun ramai di kalangan pemimpin UMNO yakin segala berita negatif itu tidak mungkin dapat diketemukan dengan sebahagian besar penduduk luar bandar, namun realitinya berbezaa sekali. Ini kerana walaupun blog internet agak payah melangkau jurang perbezaan digital di luar bandar, namun berita-berita tersebut tersebut masih dapat disampaikan menerusi cara lain, antaranya menerusi usaha mencetak semula sebagai kompilasi buletin atau menerusi salinan fotokopi.
Seperkara lagi, sebelum barisan hulubalang ini diwujudkan, UMNO perlu melihat kepada keberkesanan pasukan itu sendiri. Persoalan seperti apakah mereka petah menjawab dengan secara rasional dan bijaksana berdasarkan fakta atau apakah mereka akan mendedahkan diri dan parti kepada lebih banyak tohmahan berikutan pembidasan yang cetek dan tidak berintelek.
Menangani propaganda daripada kumpulan anarkis dan aktivis di internet adalah sesuatu yang amat digalakkan, tetapi pendekatannya paling sesuai amatlah perlu. UMNO mempunyai landasan yang tidak kurang selari dengan falsafah yang terkandung di dalam Perlembagaan negara serta 'kontrak sosial.'
Bagaimanapun, apabila sebahagian besar daripada anggota barisan pembidas UMNO yang berjuang di internet tidak mampu menangani segala tuduhan terhadap UMNO, bangsa Melayu dan kerajaan, maka strategi itu semakin memburukkan keadaan.
Di kalangan aktivis dan anarkis pembangkang di internet bukanlah ramai yang mengutarakan pendapat-pendapat yang bernas. Sebahagian besar daripadanya adalah komen cetek dan tidak berintelek yang tidak disokong fakta terperinci. Dalam pada itu jika ada tohmahan terselit diatara posting artikel oleh cendiakawan bersayap kiri, ia begitu mudah dipercayai oleh para pembaca walaupun fakta sebenar dilacurkan.
Oleh yang demikian diharap UMNO dan kerajaan lebih berhati-hatilah dalam menangani isu ini.