Dipetik dari blog Publius Melayu
Mengimbas kembali kata-kata Raja Petra Kamaruddin, pemilik laman web berita alternatif interaktif Malaysia-Today.
Dia mendabik dada mengatakan yang segala pemaparan berita serta komen-komen di laman web itu tidak memilih kasih.Tidak melihat sama ada kawan atau lawan – semua menurutnya sama saja demi ketelusan dan mempertahankan kedaulatan hak bersuara tanpa batasan.
Syabas kepadanya kerana sikap begitu 'hebat' dan 'terhormat' yang dipamerkan – sikap yang 'mengacuankan' persona dan peribadi yang kononya bermaruah lantaran ditelan bulat-bulat oleh sebahagian besar pembaca dan pengunjung Malaysia-Today.
Bagaimanapun, ekoran sesi soal-jawabnya dengan polis berikutan komen yang kononnya tersiar pada 11 July 2007, Raja Petra telah mengenakan amaran dan serta-merta 'menapis' komen-komen yang tersiar dalam Malaysia-Today.
Dia tidak mengakui hakikat keterlanjurannya membenarkan komen-komen bersifat lucah, menjatuhkan aib seseorang dan bercorak perkauman. Sebaliknya diperingkat awal dia telah cuba mempertahankan 'neutrality atau 'kebabasan' medium alternatif miliknya itu.
Walaupun dia terus mendabik dada kononya begitu berani berhadapan dengan pihak polis yang menyoal-siasatnya di IPK Dang Wangi hinggakan menurutnya mereka tergamam, namun dia secara spontan meminta para pemberi komen di Malaysia-Today supaya jangan lagi mengeluarkan kata-kata lucah dan sensitif. Hampir kesemua penyokongnya akur akan nasihat tersebut.
Bagaimanapun, 'penapisan' itu hanya mampu bertahan sementara. Kini ia berulang lagi. Penyokong serta aktivis yang begitu ghairah dengan pendiriannya terus-menerus melakukan perkara yang sama, tetapi kali ini dalam bentuk dan pendekatan berlainan. Kini mereka melakukannya secara tidak terang-terangan, sebaliknya menggunakan bayangan dan ungkapan yang sengaja 'dicensor' sendiri dengan cara memangkah perkataan lucah dan sensitif dengan huruf xxx ataupun dengan perkataan 'deleted' dan sebagainya.
Perbuatan ini hanyalah satu helah yang berselindung di sebalik 'loop-hole' undang-undang kerana pada hakikatnya niat mereka masih sama –untuk menjatuhkan aib dan mencetuskan rasa marah di antara kaum.
Bak kata, kalau dah bangkai tu masih bangkai walaupun ditutup. Inilah hakikatnya.
Juga dalam pada itu, semakin hari penyokong Raja Petra yang 'bersilat' sendirian di gelanggang komen laman web Malaysia-Today itu semakin terlupa janji kepada mentor merek. Mereka sudah mula berani mengulangi kata-kata yang dilarang itu secara terbuka.
Sehingga bilakah Raja Petra akan membiarkan ini berlaku tanpa mengambil kira tanggung-jawabnya sebagai warganegara negara tercinta ini?
Kita akur dengan hak Raja Petra untuk mengkritik demi kebabasan dalam sebuah sistem demokrasi. Bagaimanapun, setakat mengajukan 'bukti' yang kononya sahih berhubung kepincangan ahli-ahli politik nemesisnya dan kerajaan, tidak mencukupi. Dia seharusnya memikirkan cara melalui saluran berkesan yang direstui undang-undang.
Sedih sekali , walaupun serangan verbal , tohmahan, innuendo, kesinisan, perli dan bukti-bukti yang kononya tulen itu masih diperingkat tuduhan tanpa pembuktian sahih, namun kesemuanya dipercayai dan ditelan seratus-peratus oleh pengikut dan pembaca yang melewati Malaysia-Today. Mereka tidak memikirkan habis-habis kesahihan barang 'bukti' yang didakwa dipamerkan.
Dalam pada itu kita melihat hampir kesemua pembaca Malaysia-Today begitu teruja dengan fabrikasi kecaman-kecaman terhadap kerajaan dan UMNO. Kata-kata lucah dan menghina termasuk ungkapan anjing!babi! anak haram!dan macam-macam lagi sentiasa diselit dalam komen-komen yang diberikan. Ini jelas mencerminkan betapa rendahnya mentaliti kebanyakan pembaca Malaysia-Today yang terhasut oleh Raja Petra dan kuncu-kuncunya.
Selain cendiakawan penyumbang seperti Dr Bakri Musa, Dr Azly Rahman dan beberapa orang lagi, yang-lain-lainnya bertindak sebagai penulis nyamuk yang hanya mampu mempengaruhi sentimen negatif di kalangan pembaca.
Jika Raja Petra dan penyokong-penyokongnya di Malaysia-Today sanggup menuduh bahawa akhbar arus utama menapis dan memutar-belitkan berita, apa kurangnya Malaysia-Today? Logikkah tiada langsung perkara yang baik dalam pentadbiran negara hinggakan kesemuanya dikecam? Tak kira apa jua topik, walaupun tidak mempunyai kaitan langsung , ia pasti akan dihubungkan dengan politik dan dasar kerajaan untuk dikecam.
Inilah wajah laman web berita alternatif Malaysia-Today yang cakap tak serupa bikin dan bikin tak serupa cakap. Pada dasarnya sesiapa yang mampu menilaikannya akan berasa jijik dan meluat dengan pendirian Raja Petra Kamruddin dan Malaysia-Today.