Wednesday, May 14, 2008

Yang bersih dan Beriman


 

Tatkala Presiden UMNO dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, label rasuah dan sombong yang ada pada UMNO perlu dibuang segera, tak ada pun kalangan pemimpin parti yang ke depan menyokong kenyataannya. Atau pemimpin UMNO lain menyifatkan kenyataan Pak Lah cuma PR statement semata-mata.

Terlalu sedih untuk menerima hakikat bahawa UMNO tidak akan jadi relevan. Ini juga kata-kata yang keluar dari mulut orang yang sombong. Pak Lah kena faham bahawa minda pemimpin UMNO sekarang sedang bercelaru. Mereka sibuk mencari maklumat risik mengenai siapa Perdana Menteri selepas ini. Supaya senang merangka strategi. Hinanya pemikiran mereka.

Pemimpin perhubungan negeri sibuk mencongak samada mahu bertanding jawatan Naib Presiden. Kalau lawan, siapa yang akan sabotaj. Segera cari mereka, tentukan mereka menyokong. Bayangkan apa akan berlaku.

Mereka tak perasan apa yang bakal berlaku pada UMNO. Yang ini tidak penting. Yang penting cepat-cepat cari kerusi sebelum orang lain kebas. Inilah wajah UMNO yang sebenarnya.Bukan saja korup, sombong tetapi tamak kuasa.

Para pemimpin UMNO patut segera membuat post mortem yang serius mengenai label rasuah yang melekat terus pada parti itu. Kenapa jadi korup. Sebab itulah status pemimpin UMNO. Mereka mahu dilihat hidup mewah. Mereka yang kaya raya lebih dihormati. Hisap cerut RM400 sebatang jadi lambang pemimpin yang hebat sedang dalam kawasan pilihanrayanya ada lagi rakyat yang miskin. Senang saja mahu mengabui mata orang Melayu. Beritahu YB pergi umrah . Rakyat akan berkata, alhamdullilah, warak YB tu. Kenapa mahu menyorok disebalik kesucian agama, masyallah.

Kenapa pemimpin UMNO tidak boleh hidup sederhana saja, punya budi pekerti tinggi, hebat ilmu agamanya, selelau rendah diri, sentiasa melemparkan idea bernas membangun negara, agenda besar untuk generasi masa depan dan sentiasa berkorban.

Sebenarnya kalau mereka tidak mempunyai ciri-ciri ini,mereka tidak layak menjadi pemimpin. Mereka cuma akan menjahanamkan negara,bangsa dan agama. Pemimpin sekarang rasa hebat apabila mereka dapat habuan dengan cara rasuah dan penipuan, yang menjadi sah melalui helah politik yang sebati hinggakan ia menjadi satu sistem yang sukar lagi dirungkai lagi.

Poliitik UMNO sekarang bukan lagi mahu mempertahankan martabat orang Melayu, tetapi memalukan kelompok Melayu di negara ini. Pada kacamata bangsa lain, orang Melayu hanya pandai makan rasuah. Imej ini dlihat melalui gelagat pemimpin UMNO. Terus mereka mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan Raja-Raja. UMNO patut mempertahankan semua ini. Bukan asyik dengan agenda mengenyangkan diri sendiri.

UMNO kini adalah jenama yang tidak lagi laku walaupun dijual dengan harga murah. Orang akan senyum sinis jika diberitahu anda orang UMNO. Apa yang tinggal pada UMNO?

Kembalikan keyakinan orang Melayu pada UMNO, pulihkan kredibiliti parti di mata masyarakat, pilih and lantik pemimpin yang besih dan beriman, sebab akhirnya kita terus meminta keberkatan dari Allah juga.

Tidakkah kita perasan bahawa bencana yang diterima oleh UMNO ialah kerana perbuatan pemimpin dan anggotanya yang tidak ambil peduli dosa dan pahala. Jangan salah menyalah, menuding jari memaki hamun sebab kita sudah terlanjur jauh.