Wednesday, April 16, 2008

Kerajaan Kedah akan laksana sendiri projek pelancongan


Kerajaan Kedah akan melaksanakan program pelancongannya sendiri setelah Kementerian Pelancongan membatalkan semua perancangan mengikut Perjanjian Persefahaman (MoU) yang dibuat dengan kerajaan negeri sebelum pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Menteri Besar, Azizan Abdul Razak berkata beliau akan mengarahkan Penasihat Undang-Undang Negeri mengkaji MoU tersebut yang mana surat penamatannya diterima baru-baru ini.
"Selepas ini kita akan rancang sendiri program pelancongan negeri. Lagipun kita mampu melaksanakannya kerana mempunyai peruntukan."

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini mengumumkan semua MoU bagi melaksanakan projek pembangunan dengan kerajaan negeri yang dikuasai parti pembangkang ditamatkan.

Azizan berkata penamatan MoU tersebut tertakluk dengan terma-terma yang tidak difahaminya dengan jelas sebaliknya merugikan sektor pelancongan negara.

"Perjanjian itu menyatakan jika ada pihak lain memungkirinya ia boleh ditamatkan tetapi mereka mengatakan bahawa kita sudah ada perbezaan dasar dan pendapat," kata Azizan.

"Jika ada perbezaan dari segi dasar atau pendapat, kita boleh berbincang tetapi mereka tidak memberi peluang itu kepada kita," kata beliau sambil menambah semua program Tahun Melawat Kedah 2008 (TMK 2008) akan diteruskan seperti yang dirancang.

Mengenai projek pembangunan pelancongan Kedah Resort di Semeling antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan sebuah syarikat dari Qatar, beliau berkata kerajaan negeri akan mendapatkan penerangan terlebih dahulu daripada pihak terbabit.

Projek itu bernilai puluhan juta ringgit membabitkan kawasan tepi bukit seluas 600 hektar di Semeling.

Beliau turut mengumumkan semua anggota majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kedah dan Majlis Bandaraya Alor Star yang dilantik kerajaan Barisan Nasional (BN) ditamatkan mulai hari Rabu.

Katanya kerajaan pakatan PAS, Parti KeAdilan Rakyat (PKR) dan DAP telah mempunyai senarai calon dan mereka akan dilantik Khamis ini.

Dipetik dari Bernama