Tuesday, May 22, 2007

Interpretasi Geopark Langkawi: pendapat bercanggah

Semalam saya menonton dokumentari RTM mengenai Geopark Langkawi. Sepanjang tontonan itu saya tidak dapat menahan diri daripada memberikan beberapa komen -- daripada segi produksi amatur pihak yang menerbitkannya hinggalah kepada pengertian intipati konsep Geopark Langkawi .

Pertama, saya mendapati mutu laporan RTM itu seolah-olah bersikap tangkap muat. Walaupun unit penggambaran saya rasa dijemput ke pulau itu untuk membuat liputan lawatan pasukan UNESCO yang sedang mempertimbangkan permohonana LADA bagi menganugerahkan Langkawi status geopark dunia, namun saya rasa terkilan kerana mutu videografi tidak memberikan "justice" kepada keunikan dan keindahan persekitaran pulau legenda itu.

Setidak-tidaknya unit penggambaran meluanagkan masa lebih lama merakamkan dokumentari itu kerana pada masa berkenaan jelas cuaca berjerubu dan mendung, lantaran tidak mungkin dapat menghasilkan penggambaran berkualiti. Saya rasa RTM hanya mahukan liputan untuk berita dan penerbit pula sekaligus ingin menggabungkan episod itu sebagai laporan khas atau dokumentari. Hasilnya parah!

Kedua, setelah menghayati ucapan, maklumat serta penerangan berhubung Langkawi Geopark oleh LADA , UKM (Lestari) dan sebagainya, saya mendapati masih ramai yang hanya mengertikan Langkawi Geopark sebagai kawasan batuan pulau dan gunung di persekitaran kawasan berkenaan walhal konsep Geopark Langkawi sebenarnya merangkumi kesemua, iaitu budaya, cara hidup, adat, dan alam sekitar.

Berpandukan ini saya rasa publisiti konsep Langkawi Geopark masih gagal diterajui oleh pihak Perhubungan Awam LADA.