Friday, May 4, 2007

Tindak tanduk Kuok dan Ananda menjadi tanda tanya

APAKAH muslihat di sebalik cadangan Ananda T. Krishnan, orang kedua terkaya di Malaysia, menjadikan syarikat gergasi telekomunikasi, Maxis Communications Bhd, sebagai aset peribadinya?

Menurut laporan akhbar The Star hari ini, Ananda menawarkan harga RM15.60 bagi setiap saham Maxis yang belum dimilikinya berbanding RM13 di Bursa Malaysia. Saham Maxis yang belum dimilikinya kini berjumlah 40 peratus.

Kalau percubaan ini berjaya, Ananda akan membelanjakan RM16.4 bilion membeli saham-saham itu dan selepas itu membatalkan penyenaraian Maxis di Bursa Malaysia.

Walaupun ini tawaran yang sangat menarik dan mungkin diterima oleh pemegang saham minoriti Maxis, namun apakah ia urus niaga yang baik untuk negara?

Mengapakah semakin banyak usahawan Malaysia, khasnya bukan Melayu, mengambil langkah menjadikan milik peribadi syarikat-syarikat yang dulu dikongsi bersama dengan pelabur minoriti?

Adakah mereka tidak lagi yakin kepada ekonomi dan suasana perniagaan di negara ini, khasnya kemampuan menggunakan Bursa Malaysia sebagai tempat menjana modal?

Apakah pihak berkuasa seperti Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Sekuriti akan membenarkan Ananda menjadikan Maxis harta peribadinya (private asset) sedangkan lesen telekomunikasi Maxis dikeluarkan oleh kerajaan sebagai sebahagian daripada dasar penswastaan?

Bukankah salah satu syarat utama pemberian lesen yang sangat berharga itu ialah Maxis disenaraikan di Bursa Malaysia agar lebih banyak pelabur boleh menikmati faedahnya?

Mengapakah usahawan seperti Ananda dan Robert Kuok (orang terkaya di Malaysia) kini mirip kepada membatalkan penyenaraian syarikat milik mereka di Bursa Malaysia?

[Kuok baru sahaja memindahkan kawalan dan pemastautin (domicile) asetnya yang ditaksirkan bernilai RM15.5 bilion dari Malaysia ke Singapura dengan menjual kawalannya di dalam PPB Berhad kepada anak saudaranya di Singapura. Berikutan penjualan itu, PPB Berhad dibatalkan penyenaraiannya di Bursa Malaysia.]

Sama seperti Fomema dan Pantai Medivest yang mendapat faedah penswastaan, Maxis juga mendapat habuan daripada dasar yang sama apabila ia dilesenkan untuk membekalkan perkhidmatan telekomunikasi.

Mengapakah di saat-saat pemerintah bercakap lantang mengenai pembahagian kekayaan yang lebih adil dan perkembangan ekonomi yang menggalakkan, langkah membolot kekayaan melalui proses “taking private” berlaku dan direstui?

Apakah atas nama perdagangan bebas, keuntungan modal (capital gain) dan semangat keusahawanan kita menghalakan proses pembolotan harta dan pemusatan kawalan ini?

Apakah ekonomi negara di era pasca-Dasar Ekonomi Baru ini akan menjadi ekonomi monopoli dan oligopoli di mana pemilikan kekayaan tertumpu pada sekumpulan kecil pemodal?

Apakah matlamat, iaitu keuntungan, menghalakan segala bentuk cara dan kaedah?

Apakah usahawan Malaysia seperti Kuok dan Ananda melakukan tindak tanduk korporat ini kerana mereka mengetahui sesuatu yang kita tidak ketahui?

Apakah pakar-pakar penggabungan dan pengambilan alih (merger and takeover) seperti CIMB Berhad dan ECM Libra Avenue hanya melihat aspek-aspek jangka pendek seperti keuntungan modal dan pendapatan yuran sahaja?

Atau apakah pihak-pihak yang mendakwa melindungi kepentingan awam seperti Pemuda Umno tidak lagi mampu bersuara kerana mereka sudah menjadi sebahagian daripada elit ekonomi dan perniagaan?

Lebih buruk jika kita tidak peduli kerana kita tidak mengerti!

Oleh: Dato'A. Kadir Jasin